1 min read

Istilah Moreh Dalam Bahasa Jawa

Orang Jawa di Malaysia khususnya sudah terbiasa menggunakan istilah bahasa Melayu & Inggeris sehinggakan banyak istilah bahasa Jawa kian hilang ditelan zaman.

<Moreh> contohnya adalah istilah yang umum dalam bahasa Melayu untuk sedekah makanan yang diberikan untuk dimakan selepas sembahyang tarawih.

Namun, bila kita berbual dengan orang Jawa Indonesia pula, rata-rata tak faham <moreh> tuh apa maksudnya.


Jadi antara tujuan saya berkongsi tentang bahasa Jawa nih adalah;

Pertama, supaya kita mampu bertutur dalam bahasa Jawa (sesama warga Jawa Malaysia).

Kedua, kita nak menjambatani (menjadi jambatan penghubung) di antara masyarakat Jawa di Malaysia dengan masyarakat Jawa di Indonesia.

Rugilah kalau kita sama-sama Jawa. Tapi bila berjumpa, terpaksa gunakan bahasa lain untuk berkomunikasi.

Ketiga, kita nak melestarikan bahasa Jawa. Atas sebab itu, mestilah seboleh-boleh kita cari dan gunakan istilah bahasa Jawa yang original.

Cuba bayangkan, bila kita gantikan bahasa Melayu dengan istilah bahasa Inggeris saja pun orang dah kata macam-macam.

Dan berapa ramai yang menyeru kita gunakan istilah yang benar demi memperkasa bahasa Melayu.

Tetapi bila bertutur bahasa Jawa, lain pula sikap kita.

Kita malah tidak ada rasa bersalah pun untuk meninggalkan istilah Jawa yang kita kurang familiar.

Alasan yang seringkali saya dengar adalah "tak pernah dengar".


Jadi, hari ini saya ingin memperkenalkan semula istilah <moreh> dalam bahasa Jawa biar tidak hilang dari perbendaharaan kata kita.

Moreh (BM)

• Jawa : Jaburan


Têmbung Linggå (Kata Dasar)

<Jaburan> ini berasal dari kata dasar <Jabur> yang juga bermaksud <Zabur> iaitu kitab suci yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Daud.

Dalam aksara Jawa kan tiada huruf <Za> sebab itu orang Jawa menyebutnya sebagai <Ja>.

Apabila diberikan imbuhan <njaburi> ia membawa maksud memberikan sedekah (dalam bentuk makanan) untuk tarawih.

Manakala <jaburan> bermaksud makanan serta minuman yang disedekahkan untuk dimakan selepas tarawih tadi.


Biasakan yang betul.

Bila bertutur guna bahasa Melayu, gunakan <moreh>.

Manakala, bila berbahasa Jawa gunakanlah <jaburan>.

Sudah anda belajar? Sila komen!